PROSES EKSOGENIK

Proses eksogenik merujuk kepada semua proses pembentukan bentuk muka bumi di permukaan bumi yang berkaitan dengan tenaga yang berpunca daripada luaran bumi khususnya tenaga matahari . Proses-proses tersebut ialah :

1. Proses luluhawa
Luluhawa merujuk kepada proses pemecahan, peleraian , pereputan dan penguraian batuan hampir permukaan atau di permukaan bumi . Proses luluhawa ke atas batuan terbahagi kepada luluhawa kimia , fizikal dan biologi. Tenaga matahari menyebabkan berlakunya luluhawa ke atas batuan di permukaan bumi. Peningkatan bahang matahari akan menyebabkan berlakunya peningkatan kadar luluhawa ke atas batuan di sesuatu kawasan.

2. Proses hakisan
Proses hakisan merujuk kepada proses penghausan, dan pengukiran permukaan bumi oleh tindakan air mengalir, ombak dan angin dan glasier . Bahang matahari telah membantu ke atas pembentukan hujan dan pencairan glasier. Air hujan dan glasier akan membentuk Iarian air permukaan di kawasan yang bercerun. Larian air permukaan akan menyebabkan berlakunya hakisan ke atas permukaan cerun tersebut. Kajian proses hakisan bukan sahaja tertumpu di kawasan bercerun malah meliputi alur sungai dan pinggir pantai.

3. Pengangkutan bahan
Proses pengangkutan merujuk kepada pengangkutan bahan-bahan yang telah terluluhawa atau terhakis oleh tindakan agen-agen pengangkutan seperti air mengalir, ombak, angin, dan glasier. Proses tersebut berlaku di kawasan pinggir pantai, dalam alur sungai dan di permukaan cerun.

4. Proses pemendapan bahan
Bahan-bahan yang telah terluluhawa atau telah terhakis akan diangkut sama ada di permukaan cerun, dalam alur sungai dan di pinggir pantai ke kawasan lain dan kemudiannya akan dimendapkan. Pelbagai agen yang membantu proses pemendapan tersebut seperti tindakan air yang mengalir, ombak, glasier dan angin.

5. Pergerakan jisim
Pergerakan jisim merujuk kepada pergerakan bahan atau regolit yang berlaku di kawasan cerun akibat tarikan graviti bumi . Pergerakan jisim boleh berlaku dalam bentuk pergerakan cepat dan pergerakan perlahan.

2 ulasan: